MAC 2024

Projek Jalan Raya Utama Kedua Kurangkan Masa Perjalanan


SEBUYAU: Projek Jalan Raya Utama Kedua (STR) akan memberi banyak kesan positif kepada proses pembangunan di negeri ini apabila siap kelak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan menegaskan, selain mengurangkan masa perjalanan kepada tiga jam antara Kuching dan Sibu, STR apabila siap kelak akan membuka kawasan tanah lebih luas untuk tujuan pertanian komersial.

Ini akan menjana pendapatan untuk penduduk luar bandar dan membangunkan Sarawak, katanya selepas meninjau tiga pakej pembangunan STR bersama Setaiusaha Tetapnya, Datu Chiew Chee Yau dan kakitangan JKR di sini hari ini.

Tiga pakej STR itu ialah dari Batang Samarahan ke Batang Sadong, projek jambatan Batang Samarahan dan jalan raya dari Batang Sadong ke Sebuyau/Jambatan Batang Lupar.

Uggah berkata, jalan dari Batang Samarahan ke Batang Sadong adalah jalan dua laluan dengan empat lorong sepanjang 13.7 kilometer (km) dan kos membina jambatan dan jalan itu adalah sebanyak RM530 juta.

Ia dijangka siap menjelang Februari 2027, katanya dan menambah, pakej ketiga ialah pembinaan jalan sehala dua lorong dari Batang Sadong ke Sebuyau/Jambatan Batang Lupar berharga RM525 juta dan sepanjang 28km.

“Di sini, kita akan turut membina jejentas menyeberangi Taman Negara Sedilu dan pakej itu dijangka siap pada April 2028,” katanya.